Friday 12 October 2012

KSSR Bakal Lahir Minda Kelas Pertama


PENDIDIKAN masih lagi menjadi bidang utama negara bagi membangunkan modal insan pada masa depan. Bagi pelaksanaan kurikulum di sekolah menengah seramai 279,545 guru berperanan mewujudkan pelajar yang berilmu dan berkemahiran tinggi. Untuk itu, KPM diperuntukkan RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru. Di samping itu, sejumlah RM213 juta lagi diperuntukkan kepada sekolah berprestasi tinggi selain imbuhan kepada guru cemerlang. Pembangunan insan mestilah bermula di peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai-nilai murni dan nilai moral yang baik serta disemai dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran di peringkat sekolah. 
Rancangan baru akan dapat membangunkan akal, hati dan jiwa manusia khususnya remaja bagi menghadapi dan melengkapkan diri ke arah negara maju. Menjelang pembukaan sekolah sesi pertama penggal persekolahan 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan pelbagai perancangan baru bertujuan membangunkan modal insan. Hanya melalui pendidikan di sekolah semua perancangan ini dapat direalisasikan.  
Lebih 500,000 pelajar baru akan memasuki tahun satu menjelang tahun depan dengan KPM memperkenalkan kurikulum baru iaitu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah lama diperkenalkan. Antara mata pelajaran baru diperkenalkan iaitu Pendidikan Seni dan Visual selain Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab yang akan diperkenalkan pada tahap satu. Seramai 126,171 guru sekolah rendah berperanan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi melaksanakan KSSR. Tanggungjawab ini sangat penting khususnya kepada guru-guru yang seharusnya memahami aspirasi dan tujuan pelaksanaan serta matlamat KSSR. Hanya melalui bidang pendidikan, modal insan berkualiti dapat diwujudkan iaitu mereka yang berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Oleh itu, kerajaan sangat menitikberatkan aspek pendidikan dan latihan yang disusun semula dan diperkukuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Peranan ibu bapa dan guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat menyekat dan mengekang kegiatan tersebut daripada menular dalam kalangan pelajar di sesebuah sekolah. Perluasan penggunaan sistem salah laku disiplin murid (SSDM) dan e-Disiplin bagi meningkatkan pemantauan masalah ini. Statistik KPM pada 30 Jun 2010, bilangan sekolah rendah sebanyak 7,695 buah, manakala sekolah menengah 2,248. Sementara bilangan murid sekolah rendah dan menengah ialah 5,407,865 orang. Ini membuktikan betapa besarnya bilangan modal insan yang akan dibangunkan pada masa depan.Tanggungjawab dan peranan guru di setiap sekolah adalah melaksanakan kurikulum dan kokurikulum yang diperkenalkan oleh KPM. Selain itu, guru juga akan menghadapi masalah disiplin pelajar. Pada masa ini, hanya tiga peratus daripada keseluruhan pelajar terbabit dalam masalah salah laku disiplin sepanjang 2009. Masalah tersebut ialah terbabit jenayah, ponteng sekolah, kelakuan kurang sopan, kekemasan diri, tidak mementingkan masa, kelucahan, vandalisme dan kenakalan. Masalah ini walaupun masalah biasa di sekolah tetapi ia harus ditangani dengan bijaksana oleh guru bagi melahirkan pelajar cemerlang.
Penguatkuasaan di sekolah serta kaunseling dan bimbingan akhlak sangat penting kepada pelajar yang bermasalah kerana melalui masalah tersebut ia menjadi punca pelajar terbabit kegiatan negatif seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi. Kejayaan sesebuah sekolah dalam bidang akademik banyak bergantung pada masalah disiplin yang terkawal. Jika keadaan disiplin pelajar tidak terkawal berkemungkinan P&P di dalam kelas tidak dapat ditumpukan dengan sepenuh perhatian. Pelbagai program boleh dilakukan sekolah dengan kerjasama jabatan dan kementerian antaranya kursus pembinaan sahsiah dan jati diri pelajar bermasalah, kursus penguatkuasaan peraturan dan undang-undang bagi guru serta pengawas bagi mengawal masalah disiplin dan salah laku pelajar menjelang 2011. Falsafah pendidikan jelas memaparkan ke arah pemantapan akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani. Keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek sangat penting kepada setiap pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang. Justeru, setiap guru berperanan menekankan aspek pendidikan dengan membimbing dan membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban insan di kalangan pelajar. 

No comments:

Post a Comment